Pemilik seekor anjing yang cedera dilastik seorang posmen akan menarik balik laporan polis terhadap kakitangan Pos Malaysia itu selepas beliau memohon maaf kepadanya.
Dalam satu klip video yang dimuat naik ke Facebook hari ini, pelawak Shahrol Shiro menjadi orang tengah membawa posmen terbabit yang dikenali sebagai Dollah menemui pemilik ajing itu, Sivakumar Marimuthu di Kluang, Johor.
“Saya memang mohon maaf sangat, abang tahulah kerja pos, gaji bukan besar mana. Saya takut kehilangan pekerjaan ini. Saya minta maaf abang,” kata Dollah dalam video itu.
Pada 24 Feb lalu, Pos Malaysia dilaporkan kesal dengan perbuatan itu dan menggantung tugas kakitangan itu sementara siasatan dalaman dijalankan.
Sivakumar berkata, beliau tidak mahu memanjangkan kes itu.
“Saya tak nak bawa kes ini lama-lama. Memang saya tahu kerja posmen ini (berdepan dengan cuaca) panas, hujan, memang tertekan, saya faham,” katanya yang memberitahu FMT, beliau akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya pada 23 Feb lalu.
Pada 22 Feb lalu, sebuah kumpulan menyelamatkan haiwan memuat naik satu rakaman CCTV menunjukkan seorang posmen menaiki motosikal melihat menggunakan alat yang dilihat seperti lastik untuk melastik anjing itu, yang berada dalam perkarangan rumah Sivakumar.
Sivakumar berkata, kejadian itu berlaku apabila posmen itu menghantar sepucuk surat yang perlu ditandatangani isterinya.
Selepas posmen itu menekan loceng, anjing Sivakumar berlari ke perkarangan rumah dan dilastik.
Beliau berkata, isterinya tidak nampak posmen itu melastik anjingnya, tetapi melihat haiwan itu “melarikan diri dalam kesakitan”.
Isterinya kemudian menandatangani surat itu sebelum melihat keadaan anjingnya.
Berita Harian Harian Metro mymetro polis diraja malaysia Sinar Harian Sinar Online