Penularan dua video pendek memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya mengingkar Perintah Kawalan Pergerakan berniat jahat dan juga mahu menimbulkan kebencian antara kaum.
Justeru itu, Setiausaha akhbar menteri kanan berkenaan, Azlina Md Rosdy membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini, lapor portal Malaysia Gazette.
Ismail Sabri berkata, kedua-dua video pendek yang ditularkan oleh dua akaun Facebook, Anwar Ibrahim PM Rakyat dan akaun kedua bernama Anina Saadudin.
Katannya, video pendek yang pertama adalah ketika beliau membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 Februari 2020 dan ia ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.
“Manakala video kedua yang tular dan diberi tajuk ‘Sendiri buat SOP sendiri langgar’ sebenarnya adalah rakaman di mana saya hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 September 2020,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut Ismail Sabri, video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksaan SOP.
Ismail Sabri juga dalam laporan sama menegaskan video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baru Cina.
“Justeru, tujuan saya membuat laporan polis terhadap kedua-dua video ini adalah bagi menghentikan penularan fitnah terhadap saya.“Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya.
“Penyebaran video ini ternyata berniat jahat kerana dikatakan video terbaru sewaktu PKP,” kata Azlina dipetik Malaysia Gazette.
Menurut Azlina, butiran kedua-dua akaun Facebook itu yang bertanggungjawab menularkan dua video pendek berkenaan telah serahkan dalam laporan polis tadi untuk tindakan tegas.
“Kita juga telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam untuk tindakan menyekat kedua-dua video fitnah itu.
“Setakat sekarang, video itu tidak terhenti atau dipadamkan malah masih lagi berada dalam kedua-dua akaun Facebook itu dan ditularkan oleh ramai," katanya.
Anwar Ibrahim Free Malaysia Today polis diraja malaysia Politik Sinar Harian