Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan lebih ramai masyarakat Melayu yang dibunuh oleh komunis dibandingkan mereka yang dibunuh oleh pihak tentera British.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu berkata, kesan daripada pengaruh penjajahan ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial kepada penjajahan pemikiran telah berjaya melahirkan penganut Islam yang buta politik.
“Sekalipun terdapat dalam kalangan mereka golongan yang terpelajar kefahaman agama, tetapi sekadar memahami beberapa ibadat fardu ‘ain dan fardu kifayah seperti sembahyang jenazah.
“Mereka juga sekadar mengajar bacaan al-Quran tanpa memahami maksud petunjuknya, lalu terjebak ke dalam perjuangan bersama komunis di Tanah Melayu.
“Tanpa mereka menyedari wujudnya kerjasama antara aliran liberal kapitalis dengan komunis yang menentang Jerman, Jepun dan Itali dalam Perang Dunia Kedua,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian dalam tulisan panjangnya menerusi slot Minda Presiden Pas bertajuk “Pemikiran yang Masih Dijajah” hari ini.
Penegasannya tentang komunis itu muncul selepas Ketua Pemuda Umno, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 24 Februari lepas menghentam Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu buku teks Sejarah tingkatan empat yang didakwa dimanipulasikan dan mengagung-agungkan komunis.
Bangsa komunis
Abdul Hadi seterusnya menambah golongan nasionalis hanya menanamkan perasaan kasihkan bangsa semata-mata apabila semangat nasionalisme perkauman mengambil alih posisi Islam yang dilemahkan.
“Adapun ideologi politiknya yang kosong diambil alih oleh apa-apa sahaja ideologi yang disuntik dengan mudah.
“Perasaan tertekan berada di bawah pengaruh Barat yang menjajah, telah memudahkan dalam kalangan bangsa Melayu berpindah ke bangsa Komunis bersama Chin Peng,” katanya.
Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan bahkan mendakwa perubahan yang berlaku sehingga membolehkan solat didirikan dan umrah ditunaikan sebagaimana yang diberikan kemudahan oleh Parti Komunis.
“Hal yang demikian kerana, strategi mereka secara khusus dilakukan terhadap bangsa Melayu seperti menggunakan peranan Rashid Maidin dan sebagainya.
“Apa yang mendukacitakan lebih ramai masyarakat Melayu yang dibunuh oleh komunis dibandingkan mereka yang dibunuh oleh pihak tentera British yang dikatakan penjajah dan dilawan oleh puak komunis,” jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Sumber artikel: Malaysia Dateline
Minda Presiden PAS PEMIKIRAN YANG MASIH DIJAJAH Mantan Perdana Menteri British, William Ewart Gladstone (1809M -...
Posted by Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang on Saturday, February 27, 2021
Free Malaysia Today Google News Tag Hadi Awang Komunis Malaysiakini BM Melayu Politik