Najib Razak berkata, penarikan diskaun elektrik dan kenaikan harga petrol akan memberi impak kepada perubahan kadar inflasi.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keadaan itu berbahaya ketika pendapatan bulanan rakyat masih tertekan akibat pandemik Covid-19.
“Inflasi adalah negatif tahun lepas sebab diskaun bagi elektrik diberi, harga petrol yang jatuh ke sekitar RM1.30 dan permintaan domestik menjadi lemah.
“Tetapi diskaun elektrik ini sudah ditarik balik dan harga petrol telah beransur naik semula ke RM1.96,” tulisnya di Facebook.
Najib berkata pada Mac tahu lepas, beliau pernah menyarankan supaya kerajaan mewujudkan harga lantai bagi petrol pada kadar RM1.50 seliter agar naik-turun harga tidak begitu besar dan cukai yang dikutip pada masa itu boleh digunakan untuk menstabilkan harga petrol yang sudah tentu akan naik semula.
Katanya, namun kerajaan tidak memilih untuk menetapkan harga lantai, sebaliknya cukai tersembunyi 10% dikenakan pada masa itu.
Najib juga berkata mengikut laporan Bank Negara Malaysia hanya 43 daripada setiap 100 orang yang hilang kerja tahun lepas berjaya mencari pekerjaan baharu.
Katanya, bagi sektor berkait pelancongan, 28 daripada setiap 100 orang berjaya mendapat pekerjaan baharu.“Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan lagi cadangan saya masa perbahasan Bajet 2021 agar satu skim pinjaman upskilling/reskilling ala PTPN diwujudkan bagi pekerja sektor yang paling lambat memulih seperti sektor pelancongan dan pekerjaan,” katanya.
Pada 11 Feb, media melaporkan prestasi ekonomi Malaysia dijangka berhadapan penguncupan lebih tinggi dalam suku ke-4 dan keseluruhan tahun lalu mengambil kira pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara.
Covid-19 Google News Tag Malaysiakini BM Minyak Naik najib razak Politik Sinar Harian