Covid-19: Johor hantar 1,000 bakul makanan kepada pekerja Malaysia di Singapura

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:54 PTG

 SINGAPURA: Kerajaan Johor selesai melakukan penghantaran 1,000 bakul makanan ke Singapura sebagai sebahagian daripada Misi Bantuan Bakul Makanan kepada pekerja Malaysia.

Ia dilakukan dalam tiga fasa dengan kumpulan terakhir kira-kira 270 bakul makanan diedarkan pada 30 Jan oleh sekumpulan sukarelawan dalam kalangan pekerja Malaysia sendiri.

Fasa kedua melibatkan 430 bakul makanan telah diagihkan mulai 22 Jan manakala fasa pertama sebanyak 300 bakul diedarkan pada 6 Dis tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Muhammad Radzi Jamaludin, kepada Bernama hari ini.

Majlis pelepasan lori Misi Bantuan Bakul Makanan disempurnakan Menteri Besar Hasni Mohammad di Dataran Mahkota Kota Iskandar di Johor pada 3 Dis lepas.

Buat permulaan, kerajaan negeri merancang mengagihkan 1,000 bakul makanan dan akan meneruskan inisiatif itu selepas ia selesai diagihkan.

Beliau mengumumkan inisiatif bantuan bakul makanan itu dalam Belanjawan Johor 2021 bagi meringankan beban pekerja Malaysia yang berada di Singapura.

Bakul makanan itu mengandungi antara lain mi segera, biskut, dan minuman pracampuran yang dianggar bernilai SGD30.

Ketika ini, pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang-alik dari Johor terpaksa menetap sementara di republik itu berikutan langkah ketat di pintu kedua-dua sempadan bagi mengekang pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.

Mengetuai kumpulan sukarelawan itu, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh berkata beliau dan beberapa rakan senegara sentiasa bersedia untuk menjayakan program misi bantuan tersebut.

“Kami berbesar hati untuk membantu. Setakat ini kami mempunyai senarai rakan-rakan yang memerlukan dan ia akan sentiasa dikemas kini,” katanya ketika ditemui mengagihkan bakul makanan tersebut di sekitar Woodlands baru-baru ini.

Beliau yang aktif membantu rakan senegara sejak kembali bekerja di sini pada bulan Sept tahun lepas boleh dihubungi melalui laman Facebooknya ‘Eddie Dieana’.

Beliau mula bekerja di republik ini sejak tujuh tahun lalu.

Pekerja Malaysia pelbagai latar belakang ketika ditemui pada sesi pengagihan tersebut mengucapkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan Johor yang tidak mengehadkan agihan kepada anak Johor sahaja.

“Terima kasih kepada menteri besar Johor. Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat menjimatkan perbelanjaan saya bulan ini,” kata John Anak Mujang, anak jati Sarawak yang bekerja sebagai pembersih di sebuah syarikat pengangkutan awam.

Bagi Ng Kok Hooe pula sumbangan itu dapat juga mengubat hatinya kerana terpaksa memecah tradisi tidak pulang ke Perak seperti tahun-tahun sebelumnya bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

“Saya harap keluarga saya tetap gembira dan tidak bersedih dengan ketiadaan saya pada sambutan Tahun Baharu kali ini,” katanya. - Bernama


KLIK BACAPendedahan PANAS Tommy dalam buku mengenai Sirul Azilah kaitkan Najib Altantuya

KLIK BACA: Siapa Lyiana Roslee isteri ahli politik yg boleh digantung edar ganja?

BACA LANJUTTommy dedah siapa Mahathir fakta mengejutkan - Dr Kamarul