LANGKAWI: Seorang wanita berusia 46 tahun ditahan kerana membela sembilan ekor pelanduk tanpa kebenaran di rumahnya di Mukim Ulu Melaka, Langkawi, pada Sabtu.
Dia ditahan dalam serbuan Pasukan Polis Marin bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Langkawi kira-kira jam 11 pagi.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, pemeriksaan mendapati wanita berkenaan tidak memiliki surat kebenaran daripada Jabatan Perhilitan.
"Kesemua pelanduk itu dirampas dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah lebih RM1,500.
"Wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu. - Astro AWANI