Bekas peserta Miss Universe dipenjara 'joli kad debit kawan'

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:54 PG
Ashley Rita Wong Kai Lin dituduh di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber.
Ashley Rita Wong Kai Lin

Seorang peserta Miss Universe Singapura 2017 dijatuhi hukuman penjara enam minggu selepas didapati bersalah menggunakan maklumat kad debit rakan-rakannya untuk melakukan urus niaga haram.

Ashley Rita Wong Kai Lin, 27 sebelum ini mengaku bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber.

Mahkamah diberitahu Wong secara tidak sah menggunakan kad bank milik tiga rakannya, walaupun pihak pendakwaan hanya meneruskan tuduhan melibatkan dua daripadanya, membabitkan Andrew Lim, 28 dan Kimberly Qwee, 26.

Berita MediaCorp.Sg melaporkan mengikut kertas pertuduhan, Wong bertemu Lim selepas berpisah dengan teman lelakinya dan semasa lelaki itu pergi ke tandas, Wong mengambil dompet Lim yang ditinggalkan di atas meja dan menghafal butiran kad debit lelaki berkenaan.

Dia kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk membuat 21 pembayaran antara Ogos dan Sept 2016, termasuk hampir S$200 di sebuah kedai dalam talian Showpo dan sekitar S$300 bagi membeli tiket.

Wong juga menghafal butiran kad debit Qwee semasa wanita itu tertinggal kad debitnya dan menggunakannya untuk membuat beberapa transaksi, termasuk S$260 untuk menginap di Hotel Clover.

Qwee mendapat tahu mengenai perkara itu apabila dia cuba membuat pembayaran secara dalam talian menggunakan kadnya tetapi tidak diterima kerana baki akaun banknya tidak mencukupi.

Dalam catatan yang dimuat naik di laman Instagramnya hujung tahun lalu, Wong meminta maaf kepada rakan-rakannya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membuat teguran.

"Ia satu pengajaran bagi saya agar bangkit semula daripada kemurungan selepas berpisah (daripada teman lelaki) yang curang," katanya.

Namun timbalan pendakwa raya, Cheng You Duen berkata pakar psikiatri tidak dapat mengesahkan sama ada Wong mengalami gangguan mental semasa melakukan kesalahan tersebut.

Wong yang merupakan penyampai rancangan e-sukan mempunyai hampir seribu pengikut melalui saluran penstriman Twitch.