Portal berita Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM500,000 yang diperlukan untuk membayar denda dikenakan Mahkamah Persekutuan hari ini, hanya beberapa jam selepas memulakan usaha mengumpul dana.
Menurut laman web itu, terkini sejumlah RM552,321 sudah dikumpulkan.
Malaysiakini berkata, pihaknya sedang memutuskan apa perlu dilakukan dengan lebihan dana itu sambil mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan orang ramai atas sokongan mereka,
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, sokongan terhadap portal berita dalam talian itu sangat menggalakkan.
Katanya, ia “petanda baik bahawa impian untuk sebuah masyarakat yang lebih terbuka, adil dan bebas di Malaysia belum terkubur, dan masih bernyawa”.
Selain Lim, 49 Ahli Parlimen, senator dan ADUN DAP lain masing-masing menyumbang RM1,000 kepada Malaysiakini sebagai tanda solidariti.
“Pada masa sama, DAP Malaysia juga akan menyumbang RM10,000 kepada Malaysiakini,” kata mereka dalam kenyataan bersama, sambil menyeru rakyat untuk turut serta.
Menyedari jumlah wang disasarkan berjaya dikumpul tidak sampai setengah hari, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut bekongsi ciapan di Twitter, “Rakyat Malaysia bangkit untuk mempertahankan kebebasan media”.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Azrul Khalib, mengucapkan tahniah kepada rakyat kerana menyahut cabaran serta menjadi contoh kepada apa yang mampu dicapai jika mereka bekerjasama.
“Rakyat Malaysia menyuarakan bantahan mereka dengan lantang dan jelas. Bangkit, bersama mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan menentang penindasan,” katanya di Twitter.
Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Malaysiakini, didenda RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan menerbitkan komen pembaca tahun lalu.
Ketua Pengarangnya Steven Gan, bagaimanapun didapati tidak bersalah.
Syarikat itu diberi tiga hari bermula Isnin untuk menyelesaikan denda dan merayu bantuan daripada pembaca serta penyokong untuk membayar denda itu.
Hukuman dikenakan terhadap Malaysiakini mengundang kritikan di media sosial yang antara lain mempersoalkan implikasinya membabitkan tanggungjawab portal media terhadap kandungan pihak ketiga, serta ancamannya terhadap kebebasan bersuara. - FMT