Seramai 1,871 pekerja di kilang tersebut membabitkan 1,428 warga asing dan 443 rakyat tempatan masih dalam proses saringan. - Gambar/ Astro AWANI
SERKAM: Sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, Melaka diarah tutup selepas 604 pekerjanya disahkan positif COVID-19 sejak saringan dilakukan pada 1 Februari sehingga semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jangkitan itu dipercayai bermula daripada seorang pekerja yang bergejala sebelum menular kepada rakan lain termasuk warga tempatan.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan saringan terhadap 1,871 pekerja di kilang tersebut membabitkan 1,428 warga asing dan 443 rakyat tempatan.
"Langkah ini bagi memudahkan pihak berkuasa mengawal Kluster Industri Serkam yang dikesan pada 1 Februari lalu termasuk melakukan kawalan ketat di kawasan ladang penternakan seluas 21 hektar itu bagi memastikan angka kes positif kluster berkenaan tidak terus meningkat.
"Kes kluster ini bermula dengan seorang yang datang (bekerja) dalam keadaan bergejala. Maknanya perintah yang kita kenakan seperti SOP (prosedur operasi standard) penjarakan fizikal, perintah kawalan untuk mengelakkan pekerja di tempat sempit atau sesak tidak dipatuhi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan lapangan di kilang berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, buat masa ini pekerja yang positif dan bergejala ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Katanya, pekerja asing yang tidak bergejala pula dikuarantin di asrama pekerja manakala pekerja tempatan menjalani kuarantin di rumah.
Dalam pada itu, katanya operasi penguatkuasaan turut dijalankan di kawasan berhampiran termasuk ladang kelapa sawit dengan menutup pintu masuk kawasan itu serta mengawal pergerakan pekerja dengan lebih ketat. - Astro Awani
KLIK BACA: Tun Mahathir - Kerajaan PN perdaya Melayu, terpalit dakwaan kronisme beri projek kepada saudara mara
KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei
Berita Harian Covid-19 Doktor Harian Metro Hospital mymetro Sinar Harian Sinar Online