31 polis bakal dihukum disyaki terlibat Macau Scam, judi dalam talian - KPN

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:52 PTG
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyempurnakan Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta. - Foto Bernama

IPOH, 1 Mac -- Seramai 31 warga Polis Diraja Malaysia yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka telah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata mereka sebelum ini disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam didalangi Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada SPP yang dipengerusikan Yang Berhormat Menteri (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin) sendiri.

"Ini kerana kesalahan itu kami  anggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai.  Jadi saya sebagai Ketua Polis Negara  telah mengambil tindakan dengan membawanya ke peringkat atasan untuk diadili sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, kira-kira 30 minit dari Ipoh, di sini hari ini.

Sumber - BERNAMA