Budak 16 tahun dirogo tahanan lelaki di lokap polis - Foto hiasan Reuters |
SARAWAK - MIRI: Sebelas pegawai polis terdiri daripada pegawai kanan dan rendah yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas susulan kes rogol dalam lokap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun oleh seorang tahanan lelaki berdepan tindakan buang kerja atau penurunan pangkat.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis, Zamri Yahya, mengumumkan perkara itu susulan siasatan tatatertib ke atas kecuaian dan salah laku dalam kejadian tersebut.
Perkembangan ini selain tindakan dari sudut jenayah terhadap dua anggota polis yang menjaga lokap pada masa kejadian, katanya dalam kenyataan.
Zamri menerangkan dua laporan polis diterima susulan kejadian rogol di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Jan itu.
Laporan pertama dibuat oleh seorang anggota polis membawa kepada penuduhan suspek berusia 19 tahun bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Jan, manakala laporan kedua oleh mangsa membawa kepada penuduhan dua anggota polis bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak pada 9 Feb.
Remaja perempuan yang dirogol tahanan lain di lokap Balai Polis Pusat Miri, 9 Januari lalu diletakkan di sel berlainan dengan tahanan lelaki.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan mendapati berlaku kecuaian anggota yang tidak mengunci pintu lokap berkenaan.
Dalam kejadian itu, remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis pada 16 Januari lalu mendakwa dia ditahan oleh sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri pada 8 Januari kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram.
Dia kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.
Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.
Dakwanya lagi, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.
Antara jam 4 hingga 5 pagi sebelum seorang tahanan lelaki membuka pintu sel dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.
Dalam pada itu, Zamri berkata pihaknya memandang serius “beberapa kejadian gangguan seksual” melibatkan petugas sekatan jalan raya yang tular baru-baru ini.
“Tindakan tegas dari sudut jenayah dan tatatertib akan diambil ke atas semua yang terlibat sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Semua yang terlibat dikeluarkan daripada menjalankan tugas sekatan jalan raya sehingga siasatan selesai.