Terengganu digesa contohi Selangor beli sendiri vaksin Covid-19

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:52 PG
PKR Terengganu menggesa kerajaan negeri itu mencontohi usaha pentadbiran Selangor membeli vaksin Covid-19 untuk kegunaan rakyat yang berkaitan.

Pengerusinya Azan Ismail berkata usaha mendapatkan vaksin Covid-19 tersebut perlu dilakukan segera ekoran Terengganu kini mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara iaitu pada tahap 1.31.

“Selangor antara negeri yang sudah mengumumkan cadangan untuk membeli sendiri vaksin kerana akses untuk orang awam lebih lewat, barangkali hanya penghujung Mei," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Azan kerajaan Terengganu patut membuat pengumum segera pelan mereka membeli vaksin berdasarkan kepada keadaan kadar Rt di negeri itu.

Katanya, maklumat lanjut mengenai pembelian berkenaan kerajaan Terengganu boleh berhubung dengan Selangor.

"Ada sebab kukuh untuk (kerajaan negeri) buat begitu, kalau tidak tahu, boleh berhubung dengan kerajaan Selangor sebab mereka dah umumkan.

“Kerajaan negeri Terengganu boleh minta nasihat untuk bertindak dengan cara sama,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Media melaporkan sebelum ini dari infografik yang dikongsikan akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu mencatatkan kadar Rt tertinggi dalam negara.

Pada 18 Jan lalu, kerajaan Selangor menyatakan hasratnya membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha berkenaan disambut baik oleh kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain cuba membeli sendiri vaksin Covid-19, Azan berkata, PKR turut berharap kerajaan Terengganu menghulurkan bantuan lain pada kadar segera untuk membantu mengekang penularan wabak tersebut.

“Terengganu mempunyai banyak wang. Sepatutnya wang tersebut boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti sanitasi di semua tempat awam,” cadangnya.