Pemandu mabuk rempuh 2 sekatan polis ditangkap bila tayar kereta pecah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:05 PG

Peralatan polis untuk sekatan jalanraya mengalami kerosakan selepas dirempuh kereta suspek. - Foto Polis Sipitang

SABAH, SIPITANG: Tindakan seorang lelaki melarikan diri dengan merempuh dua sekatan jalan raya (SJR) hanya sia-sia apabila tayar kenderannya pecah dan diberkas polis dalam kejadian di Melamam, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 36 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Bangsal, Sindumin, kira-kira 1km dari lokasi SJR kedua yang dirempuhnya.

Ketua Polis Daerah Sipitang Champin Piuh berkata, dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah Sipitang menuju ke Tenom merempuh SJR walaupun terdapat papan halangan polis.

Katanya, selepas merempuh SJR pertama, suspek melarikan diri dan selang 10 minit selepas itu, dia sekali lagi merempuh SJR dengan kereta sama dan terus melarikan diri.

“Akibat kejadian itu beberapa peralatan SJR rosak namun anggota polis dan Rela yang bertugas ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota polis kemudian menjalankan siasatan dan sejam selepas itu kereta dipandu suspek berjaya dikesan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ketika ditahan suspek turut didapati dalam keadaan mabuk dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.

“Suspek kini direman untuk mendapatkan maklumat, tujuan atau niat dia merempuh SJR sebanyak dua kali. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.