Polis siasat Anwar rayu Agong batal darurat, Hanipa kata luar bidang kuasa polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:51 PG

Bekas timbalan menteri Hanipa Maidin berkata, gesaan membatalkan perisytiharan darurat yang dibuat oleh mana-mana pihak bukan kesalahan jenayah.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan polis menyiasat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berhubung rayuannya terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perisytiharan darurat.

Bekas timbalan menteri undang-undang itu terkejut membaca laporan media yang menyebut bahawa Anwar kini sedang disiasat polis, sekali gus meminta polis menjelaskan apakah kesalahan undang-undang yang dilakukan oleh presiden PKR itu.

“Sepanjang pengetahuan saya, gesaan membatalkan perisytiharan darurat yang dilakukan mana-mana pihak bukanlah suatu jenayah. Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan itu.

“Tetapi saya tidak fikir kita boleh kaitkan kenyataan Anwar itu dengan mana-mana kesalahan di sudut undang-undang,” katanya seperti dilapr portal Free Malaysia Today.

Sebelum ini polis mendedahkan bahawa ia sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat dengan kes itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman susulan laporan polis yang dibuat terhadap Anwar di Kuala Lumpur.

Hanipa berkata, beliau juga percaya isu yang dibangkitkan Anwar membabitkan perlembagaan persekutuan, yang menurut beliau, berada di luar bidang kuasa polis.

Pada 12 Jan, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pada 14 Jan, Anwar dilaporkan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Agong supaya membatalkan perisytiharan darurat dan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Dalam surat tersebut, Anwar berkata, perisytiharan darurat tidak perlu kerana ada langkah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan.

Beberapa hari lepas, beliau mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahu sidang Parlimen diadakan.

Anwar sebagai Ketua Pembangkang turut memfailkan permohonan di mahkamah untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat.