Pegawai imigresen didakwa 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram RM885,950

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:09 PTG
Mohd Shah Ezywan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan rasuah - Foto Sinar Harian

Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan dalam Op Selat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas 12 pertuduhan menerima suapan dan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950 sejak 2017 hingga tahun lepas.

Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Madiha Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Mohd Shah Ezywan yang merupakan pegawai imigresen gred KP19 didakwa memperoleh wang melalui transaksi akaun bank berjumlah RM885,950 daripada tiga individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai, antara 11 Jan 2017 hingga 1 Nov 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Ezywan turut berdepan empat lagi pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada individu sama melalui transaksi akaun bank di bank sama atas nama seorang individu, antara 29 Mac 2017 hingga 19 Mei tahun lalu.

Empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Madiha membenarkan Mohd Shah Ezywan diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, hadir ke pejabat SPRM berdekatan serta tidak boleh mengganggu saksi terlibat.

Mahkamah menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Mohd Shah Ezywan diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi. - Bernama