Kes dadah terbesar RM340 juta, ketua sindiket, kekasih didakwa

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:06 PG
Ketua sindiket (berbaju jingga dua dari kanan) bersama tiga ahli sindiket pengedaran dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.- Foto Kosmo / Raja Jaafar Ali

JOHOR BAHRU: Lima individu termasuk pasangan adik-beradik dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah bernilai lebih RM340 juta.

Tertuduh, Goh Chee Kuang, 44; Lee Chia Hui, 33; Lye Chang Pung, 39; Lye Chang Lim, 35 dan Bally Paw Shaw Kiat, 38, berdepan 18 pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh di hadapan Majistret Nurmardiana Mamat.

Mengikut pertuduhan, semua kesalahan dilakukan di beberapa lokasi antaranya Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah antara 9 hingga 15 Jan.

Kesemua tertuduh didakwa mengedar pelbagai jenis dadah termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram hingga 210 kilogram.
Tertuduh, Lee Chia Hui diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret bersama teman lelakinya atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Johor Bahru. - Foto Raja Jaafar Ali

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang, manakala semua tertuduh diwakili peguam Micheal K L Chee dan Kevin Quah Kai Weng.

Semalam, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 13 daripada 17 suspek yang ditahan membabitkan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di lima stor penyimpanan dan dua makmal haram di sekitar bandar raya pada 14 dan 15 Januari lepas akan didakwa di mahkamah.

Katanya, lapan akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala lima lagi mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala empat lagi suspek dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan.