MELAKA: Seorang pelajar dari Melaka yang menuntut di tahun tiga Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Arab) Universiti Al-Azhar, Mesir meninggal dunia dipercayai akibat kegagalan hati di sebuah hospital di negara itu, pagi Ahad.
Ahmad Razin Mohd Fauzi, 23, dari Kampung Paya Dalam, Ayer Molek di sini, yang mendapat pembiayaan Tabung Amanah Pendidikan Melaka itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital tersebut.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin berkata sebelum ini pelajar itu dibawa untuk mendapatkan rawatan di dua hospital, namun penyakitnya tidak dapat dikesan.
"Ketika pemeriksaan di hospital ketiga yang mempunyai fasiliti lebih baik, barulah dapat dikesan hati pelajar itu telah rosak dan langsung tidak dapat berfungsi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam Isnin.
Beliau berkata kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos membawa pulang jenazah Allahyarham yang dijangka tiba malam esok.
"Kita akan bawa balik jenazah seawal mungkin selepas selesai segala urusan di sana, tempat pengebumian juga akan ditentukan nanti. Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya. - mStar
KLIK BACA: PAS ikut jejak Rasulullah berpolitik secara matang, harap lahir penyokong Islam dari sulbi Umno