Kerajaan Bangladesh membenarkan kapal Nautical Aliya yang membawa 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan memasuki pelabuhan Teknaf.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata persetujuan itu dicapai selepas menterinya Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Md Shahidul Islam mengadakan pertemuan semalam.
“Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Bangladesh susulan kesudian mereka untuk memberi laluan kepada kapal misi Food Flotilla For Myanmar.
“[Kapal ini] menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya yang tinggal berdekatan pelabuhan Teknaf," menurut kenyataan seperti dilaporkan Berita Harian.
Anifah semalam mengadakan pertemuan dengan Shahidul bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan Bangladesh tidak membenarkan kapal itu untuk memberi bantuan.
Kapal berkenaan dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon sebelum meneruskan perjalanan ke Teknaf serta kem pelarian di Bangladesh.
Teknaf merupakan pelabuhan terdekat dengan 65,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh melarikan diri dari Myanmar sejak 9 Oktober lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merasmikan pelepasan kapal itu semalam di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang.
Misi berkenaan disertai 230 sukarelawan dari 13 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media serta wakil-wakil NGO.
KLIK BACA: Pemimpin PAS pilih jalan mudah serang Tun Mahathir yang berusia 91 tahun - Raja Bahrin