Jamal lepaskan semua jawatan politik, mahu niaga judi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:47 PTG

AMPANG - Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mungkin akan meletakan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Sg Besar, Pengerusi NGO Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia untuk mengusahakan perniagaan barunya iaitu kedai mesin judi haram.

Beliau berkata demikian selepas dibebaskan bersama sembilan daripada tahanan reman kira-kira pada jam 7 malam tadi.

“Hari ini saya ingin mengumumkan berkemungkinan akan meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian, Pengerusi BN Parlimen Sg Besar, Pengerusi NGO Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia.

“Bagi saya jawatan yang dipegang untuk masyarakat ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya sebaliknya selepas ni saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti taukeh-taukeh judi yang lain kerana usahakan judi haram ini mempunyai kekebalan, keistimewaan berbanding jawatan-jawatan sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

Jamal direman selama lima hari setelah mendapat perintah yang telah dikeluarkan oleh Hakim Majistret Mohd Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Majistret Ampang.

Jamal berkata, berniaga kedai judi haram lebih baik dan berkepentingan dari jawatan yang beliau miliki.

Sebelum ini, peguam Zamri Idrus yang mewakili Jamal memberitahu media bahawa anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Beliau berkata Jamal ditangkap disebabkan satu laporan polis terhadap anak guamnya itu dan tempoh tahanan reman tersebut dikeluarkan kerana polis memerlukan masa untuk melengkapkan kertas siasatan.

Jamal ditahan di kediamannya pada 3 petang, 2 Februari lalu.

Pada Disember tahun lepas, Jamal bersama beberapa yang lain telah 'menyerbu' beberapa premis yang menjalankan kegiatan judi di Ampang, Selangor. - Sinar Harian