SHAH ALAM - Suatu ketika dahulu, negara pernah dihebahkan dengan kehadiran seorang kanak-kanak genius matematik.
Namanya mula membuka mata rakyat Malaysia, apabila ketika masih di peringkat sekolah rendah, dia mudah mengalahkan 19 guru serta 230 pelajar tahun satu hingga enam dalam ujian kepintaran minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru dekat Bagan Serai.
Sejak dari itu, nama Adi mula menitir dibibir rakyat Malaysia.
Kini setelah sedekad 'menghilang' diri Adi Putra Abdul Ghani, 18, mula membuka lembaran baharu apabila mula mengorak langkah untuk menyebarluas ilmu matematik yang dimilikinya untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.
"Adi kini sudah mula buat program seminar matematik sendiri," katanya kepada Sinar Online selepas tamat seminar bersamanya, Adimatik yang diadakan di Hotel De Art, di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai pembelajarannya kini, Adi berkata, dia hanya belajar sendiri di rumah.
"Memang belajar 'home schooling' di rumah itu sahajalah Adi tak ada pergi belajar secara pendidikan formal," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penerbitan formula baharu Adi berkata, dia sudah berjaya membuat sebanyak 286 formula dan kaedah baharu dalam matematik.
"Jadi kini Adi sasar untuk mengadakan seminar dan akan terus menerbitkan buku E-Book siri dua, tiga, dan seterusnya mungkin lepas ini Adi buat online seminar dan kelas online, insya-ALLAH," katanya.
Oleh itu, ujar Adi besar harapannya agar rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada kerjayanya dalam bidang matematik.
"Harapan Adi untuk berkongsi ilmu yang Adi ada, dan Adi harap supaya rakyat Malaysia terutamanya para pelajar jatuh hati dengan matematik," katanya.
Terdahulu, Hotel De Art menyediakan pelbagai kemudahan untuk mengadakan seminar sesuai dengan bajet.
Menurut pihak Pengurusannya Dr Jenny Liow berkata hotel menyediakan pelbagai kemudahan seperti wi-fi percuma, bilik seminar beserta dengan PA sistem. - Sinar Harian