Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan sebuah laporan akhbar tentang isu mahasiswa lapar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:21 PG


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menafikan sebuah laporan akhbar tentang isu mahasiswa lapar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mendakwa bahawa ia tidak tepat malah dinafikan pelajar tersebut.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada ahli parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, menteri Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa bahawa isu tersebut telah pun disiasat pihak beliau.

“Siasatan mendapati laporan oleh akhbar tersebut berkaitan dua orang pelajar UKM yang mengalami ‘kelaparan sehingga usus terkoyak’ adalah tidak tepat dan pelajar terbabti telah menyuarakan rasa malu dan tidak selesa berkaitan laporan itu kepada pihak UKM.

“Pelajar terbabit mengadu bahawa isi laporan oleh akhbar terbabit tidak sama dengan apa yang telah dimaklumkan semasa temu ramah dengan wartawan,” katanya.

Pada Januari, akhbar Harian Metro melaporkan seorang penuntut Sarjana Muda Psikologi UKM terpaksa “mengikat perut” sehingga ususnya tercedera.

Penuntut perempuan daripada Sabah itu berkata, kesempitan wang tidak hanya berlaku di peringkat ijazah, malah sejak di peringkat asasi lagi.

Seorang lagi pelajar tahun pertama Sarjana Muda Komunikasi Media pula berkata, beliau kerap tidak datang ke kelas kerana mengalami gastrik selepas mengikat perut.

Idris kemudiannya menolak tinjauan yang menunjukkan tiga daripada empat pelajar di universiti awam tidak mampu membeli makanan akibat masalah wang.

Menteri pengajian tinggi itu berkata sebuah bancian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM), yang diterbitkan awal bulan ini, “cacat”.