Dua beradik ditemui mati tersepit

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:51 PG

Dua beradik maut dipercayai tersepit selepas pacuan empat roda dinaiki bersama seorang lagi kanak-kanak dan bapa mereka terbabas di Lebuh AMJ Bukit Lintang, Kandang, di sini tengah malam tadi.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia 12 dan 9  tahun itu maut ditempat kejadian dipercayai akibat tersepit di tempat duduk belakang dan hadapan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, pihaknya tiba dilokasi 14 minit selepas menerima panggilan pada jam 12.14 tengah malam dan melihat kenderaan jenis Toyota Hilux sudah terbalik.

"Sebaik sahaja sampai, kerenderaan berkenaan sudah terbalik dalam keadaan kira-kira 60 darjah mengiring dan didapati seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berada di luar kereta dipercayai berjaya mengeluarkan dirinya sendiri selepas kemalangan.
[ads-post]

"Seorang lelaki tersepit berikutan bahagian pemandu terbalik mengiring ke longkang dan salah seorang anaknya yang sudah meninggal dunia berada dengannya sementara seorang lagi kanak-kanak tersepit di tempat duduk belakang juga meninggal dunia," katanya.

Menurut Alias, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh lapan anggota bomba dalam tempoh 17 minit dan mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan sementara dua beradik yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian difahamkan, keempat-empat beranak itu menaiki kenderaan berkenaan dari arah Muar menghala Bandaraya Melaka sebelum kenderaan mereka terbabas di bahu jalan. - Lapor Sinar Harian