Aliff Syukri Sah Tandatangan Kontrak Taja Kedah Bernilai RM30 juta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:44 PG

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menandatangani kontrak tajaan bernilai RM30 juta dengan syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd pada petang Jumaat.

Difahamkan pemilik D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mengadakan perbincangan peringkat akhir di Alor Star sebelum kedua-dua pihak menandatangani kontrak untuk tempoh tiga musim.

Ketika berita ini ditulis, Aliff Syukri yang dihubungi mStar Online masih dalam perjalanan ke Alor Star untuk bertemu Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah.

Menurut Aliff Syukri, beliau turut membawa peguam dan penasihatnya dalam pertemuan yang dijadual diadakan pada pukul 5.30 petang ini.
[ads-post]

"InsyaAllah jika tawaran yang KFA berikan memuaskan dan memberi impak yang baik kepada D'Herbs, saya akan tandatangan.

"Sejujurnya jumlah yang diminta oleh pasukan Kedah adalah tinggi. Tapi setelah mempertimbangkan beberapa kriteria termasuk prestasi pasukan itu dan pulangan terhadap produk saya...saya bersedia," katanya.

Tambah usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu, beliau yakin skuad Helang Merah mampu mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini dengan lebih baik.

"Saya ada peruntukan yang cukup untuk menaja pasukan bola dan saya yakin dengan pelaburan ini ia dapat menyuntik semangat yang lebih untuk pasukan berkenaan mencipta kejayaan.

"Mana tahu selepas ini pasukan Kedah akan terkenal dengan tagline 'terlajak gol' dan Kedah juga akan dikenali sebagai negeri 'terlajak laris'," katanya berseloroh.

Selain itu tambah Aliff Syukri, beliau turut dijemput oleh KFA untuk menyaksikan perlanan suku akhir pusingan kedua Piala FA antara pasukan Kedah menentang Sabah di Stadium Darul Aman yang bakal berlangsung pada Jumaat malam.

"Saya akan ke stadium malam ini. Harap-harap kedatangan saya ke Kedah hari ini bakal membawa tuah kepada pasukan Helang Merah," katanya. - mStar