Separuh majikan Malaysia cadang naik gaji pekerja tahun ini, lapor kaji selidik Hays

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:59 PTG

Hampir separuh daripada pekerja di Malaysia dijangka menaikkan gaji pekerja mereka antara 3% dan 6%, manakala 4% tidak bercadang menaikkan gaji kakitangan mereka, menurut kaji selidik Hays.

Lebih 3,000 majikan di China, Hong Kong, Jepun, Malaysia dan Singapura ditemu bual dalam kajian "Hays Asia Salary Guide" itu, mewakili 6 juta pekerja, bagi mengetahui keadaan berkenaan gaji dan trend pengambilan pekerja.

Di Malaysia, 11% majikan bercadang menaikkan gaji sehingga 3%, manakala 29% merancang untuk menaikkan gaji antara 6% dan 10%.

Manakala 10% majikan Malaysia dijangka memberikan kenaikan lebih 10% kepada kakitangan mereka.

Dari segi kenaikan sebenar dalam semakan tahun lalu, 50% majikan Malaysia menaikkan gaji antara 3% dan 6%, manakala 24% lagi menaikkan gaji antara 6% dan 10%.

Bagi kenaikan gaji melebihi 10%, Hays mendapati 8% majikan Malaysia benar-benar melakukannya.

Namun begitu, 6% majikan tidak langsung memberikan kenaikan gaji tahun lalu.

Pengarah urusan Hays Asia, Christine Wright berkata kebanyakan majikan berhati-hati dalam soal gaji tahun ini bagi membantu perniagaan dan menangani situasi ekonomi.

Bonus dan manfaat lain mungkin merupakan kaedah pilihan untuk mereka berikan kepada pekerja tanpa menjejaskan bajet gaji.

"Oleh itu, hampir semua majikan menjangkakan akan merasai impak kekurangan kemahiran tahun ini, yang mungkin memberikan tekanan kepada gaji dalam beberapa sektor.

"Kira-kira sepertiga majikan memberitahu kami, mereka tidak ada bakat sebenar yang diperlukan bagi memenuhi objektif perniagaan semasa," katanya.

Sementara itu, 63% majikan di 5 negara itu berhasrat memberikan bonus kepada kakitangan mereka tetapi hanya 10% daripada mereka memberi jaminan bonus akan diberikan syarikat.

Hampir kesemuanya, 95% majikan berkata bonus bergantung kepada prestasi syarikat manakala 92% berkata ia berdasarkan prestasi pekerja secara individu.

Bagi nilai bonus itu, 33% majikan berhasrat memberikan kakitangan mereka sehingga 10% gaji sebagai bonus manakala 44% merancang memberikan antara 11% dan 50% daripada gaji.

Manakala 10% majikan bercadang memberikan bonus 100% kepada pekerja mereka. - TMI