Remaja berani selamat rakan dari lemas terima pengiktirafan BOMBA

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:03 PTG

KUANTAN - Tindakan berani seorang remaja yang menyelamatan rakannya daripada lemas di Sungai Tembeling, Jerantut bulan Mac lalu mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

Muhammad Aiman Hidayat Abdullah, 17, dari Kampung Gol, Kuala Tahan, Jerantut menerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2015 peringkat negeri di sini hari ini.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, pelajar Tingkatan Lima SMK Jubli Perak Sultan Ahmad Shah itu berkata dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, dia cuba menyelamatkan dua rakannya yang merupakan pasangan adik beradik berusia 14 dan 15 tahun yang lemas ketika mereka bertiga mandi di sungai itu.

"Dalam keadaan panik, saya berenang ke arah mereka dan cuba menyelamatkan mereka tetapi saya juga tenggelam dan hampir lemas. Tetapi saya berjaya berenang ke tebing sungai.

"Saya kemudian bergegas mendapatkan sampan di tebing sungai sebelum berpatah balik dan menarik seorang daripada rakan saya ke dalam sampan. Tapi saya tidak  dapat menyelamat abang kepada rakan saya itu yang tenggelam dan dihanyutkan arus deras," katanya.

Sijil disampaikan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.  - Bernama