Pelakon Jepun mati tertikam pedang samurai

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:03 PTG

Tokyo muncul sebagai satu daripada tujuh kota besar terbaik di dunia. Di tengah kota ini seorang pelakon teater terkorban akibat tikaman pedang sewaktu mengadakan latihan. ― Gambar CNN

LONDON  — Seorang pelakon teater Jepun maut selepas ditikam dengan pedang samurai semasa sesi latihan.

Daigo Kashino, 33, yang dikejarkan ke hospital di Tokyo selepas mengalami kecederaan di bahagian perut meninggal dunia beberapa jam kemudian, lapor portal The Independent.

Ahli kumpulan teater itu, yang terletak di tengah Tokyo, pada ketika itu sedang menjalani latihan untuk satu pertunjukan di studio.

Media tempatan membayangkan terdapat beberapa lagi pelakon lain bersama Kashino dalam babak bertempur semasa beliau ditikam Isnin lalu.

Tiada siapa melihat kejadian itu tetapi mereka tersedar selepas Kashino mengerang kesakitan dan menemuinya membongkok dalam keadaan tercedera, lapor stesen penyiaran NHK.

Tidak jelas sama ada pedang samurai yang digunakannya itu asli atau palsu, atau sama ada ia memiliki ciri keselamatan untuk mengelakkan kecederaan.

Polis sedang menyiasat sama ada kematian itu mempunyai unsur jenayah atau kemalangan.