Suspek penyeludup ditembak mati, ATM sahkan dua anggotanya ditahan polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:23 PG

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan dua anggotanya kini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung  insiden tembakan di pos kawalan Rantau Panjang, Kelantan - Gambar FMT

KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan dua anggotanya kini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung  insiden tembakan yang seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata selain polis, ATM turut melakukan siasatan terhadap kejadian itu.

"Pihak polis (sedang) membuat siasatan... pihak tentera pun saya telah arahkan untuk buat siasatan atas kejadian yang berlaku.

"Saya tak dapat komen apa-apa waktu ini. Kita tunggu hasil siasatan polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 7.15 malam semalam, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an maut selepas terkena tembakan anggota tentera yang bertugas di sebuah pos kawalan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Anggota tentera itu melepaskan tembakan setelah van yang membawa lelaki itu, tidak berhenti di pos kawalan untuk pemeriksaan.

Tembakan itu dikatakan terkena lelaki itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim ketika dihubungi hari ini enggan mengulas mengenai kejadian itu. - Bernama