Perhilitan pernah beberapa kali menangkap gajah di Kampung Chepor namun masalah tersebut tidak selesai sepenuhnya sehingga kini. - Gambar Sinar Harian
LENGGONG - Mungkin kedengaran agak pelik, namun serangan gajah di Kampung Chepor, di sini dikaitkan dengan mitos haiwan tersebut menziarahi kubur saudara mereka yang mati ditembak puluhan tahun lalu.
Penduduk, Samsuddin Mat Som, 46, berdasarkan cerita orang-orang lama, terdapat empat atau mungkin lebih kubur gajah di kawasan kampung berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, dalam tahun 1980-an, penduduk mengambil tindakan sendiri apabila melihat gajah menceroboh kampung mereka.
Biasanya, tindakan yang akan dilakukan adalah menembak mati haiwan liar tersebut dan bangkainya ditanam di sekitar kawasan kampung.
"Jadi ada yang kata serangan gajah di Kampung Chepor disebabkan haiwan itu nak lawat saudara yang ditanam di kampung ini.
"Sambil-sambil lawat, mereka makan apa yang ada di sini. Ada yang hancurkan pokok sawit dan getah menyebabkan penduduk takut nak keluar menoreh," katanya.
Katanya, setahunya, ada empat ekor gajah pernah ditembak mati di situ dahulu.
"Kuburnya masih ada, tapi susah nak cari," katanya.
Jangan cakap besar
Samsuddin berkata, mitos berkenaan dikuatkan lagi dengan dakwaan bahawa tiga kampung lain di sekeliling Kampung Chepor boleh dikatakan tidak pernah atau jarang dicerobohi haiwan liar itu.
"Gajah itu hanya nak musnahkan tanaman penduduk dekat sini. Tapi pencerobohan kali ini lebih lama dan serius.
"Bila berdepan dengan gajah atau berada di dalam hutan, orang-orang tua pesan jangan cakap besar atau takbur sebab mereka seakan-akan tahu apa yang kita cakap," katanya.
Tambahnya, dahulu pernah ada seorang pemilik sawit mengatakan dia tidak kisah sekiranya gajah masuk ke ladangnya.
"Esoknya, hampir separuh ladang dia dimusnahkan gajah.
"Mungkin nampak tak masuk akal, tapi orang kampung percaya. Banyak kali juga dah berlaku," katanya.
Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi penduduk, Bakar Yop, 67, yang melihat sendiri seekor gajah memakan ubi dan mematahkan pokok betik di sebelah rumahnya.
Menurutnya, sehari sebelum, isterinya ada mengusik seorang penoreh di situ supaya menoreh di tempat lain sekiranya ada gajah di kebun mereka.
"Esoknya, ada seekor gajah datang rumah kami. Memang betul cakap orang, jangan cakap besar dengan gajah," katanya.
Bakar berkata, ketika kejadian haiwan itu datang pada waktu malam.
"Bila saya buka pintu, gajah itu macam marah dan mendengus pada saya. Terus saya tutup semula pintu.
"Mujur mereka tak serang rumah. Tapi kami bimbang kalau benda ini terus jadi, mereka mungkin jadi lebih ganas," katanya.
Pasang pagar elektrik
Sementara itu, seorang penoreh, Hazizi Amri, 48, mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memasang pagar elektrik di kawasan kebunnya bagi mengelak serangan haiwan liar.
Menurutnya, sekiranya tiada pagar tersebut, lebih banyak kerosakan akan berlaku di kebunnya dan lebih banyak kerugian bakal ditanggung.
"Kami di sini berdepan ancaman haiwan liar setiap masa. Waktu pokok masih kecil, kita bimbang dengan serangan babi dan kera. Bila pokok besar, kita bimbang serangan gajah pula.
"Tapi gajah lebih bahaya sebab dia musnahkan terus tanaman dan juga bijak. Walaupun ada pagar elektrik, mereka tetap boleh masuk. Caranya mereka tumbangkan pokok atas pagar dan masuk ikut pagar yang dah roboh," katanya. - Sinar Harian