Polis nafi berlaku kes culik, curi organ manusia di Bintulu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:34 PG

Polis menafikan kegiatan penculikan serta mencuri organ manusia berlaku di Bintulu - Gambar FMT

Polis menafikan kegiatan penculikan serta mencuri organ manusia berlaku di Bintulu seperti disebarkan melalui Facebook dan WhatApps hari ini.

Ketua Polis Bintulu Supt Zailanni Amit mengesahkan telah menahan seorang lelaki warga negara asing dipercayai menghadapi masalah mental berikutan tindakan lelaki tersebut menceroboh sebuah rumah panjang di Bintulu namun ia tiada kaitan dengan kes penculikan dan mencuri organ manusia.

"Suspek berusia 40-an tersebut pada mulanya ditahan oleh orang-awam ketika cuba menceroboh dan diserahkan kepada Balai Polis Tatau," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek menghadapi masalah mental serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan oleh orang awam.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh dan Seksyen 61 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa pas atau permit yang sah.

"Suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan pada masa sama kita juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan dengan kes penculikan berlaku di Bintulu sekali gus membuktikan berita serta gambar yang diviralkan itu adalah tidak benar," katanya.
[ads-post]

Beliau menasihatkan orang awam untuk tidak mudah panik apabila membaca atau mendengar berita yang disebarkan melalui media sosial tanpa pengesahan rasmi dari polis atau mana-mana badan penguat kuasa.

Kejadian yang menjadi viral tersebut berlaku di Rumah Joshua Manit, Sungai Setiam Jalan Bintulu-Tatau sekitar 2 hingga 4 pagi dengan dakwaan suspek tersebut sedang cuba untuk menculik serta mencuri organ manusia.

Suspek berjaya ditangkap oleh orang awam serta wajah suspek disebarkan secara meluas dalam media sosial dengan gelaran 'penyamun' istilah bahasa tempatan merujuk kepada individu yang memburu kepala manusia.

Suspek turut dikaitkan dengan aktiviti penculikan serta penjualan organ kanak-kanak serta dewasa.

- Bernama