Unggas dan kupu-kupu di taman sekitar ibu kota turut menerima bahang daripada kesan cuaca panas akibat El Nino yang melanda negara kini. – Gambar AFP
Kesan cuaca panas akibat El Nino yang melanda negara kini bukan saja dirasai manusia, tetapi unggas dan kupu-kupu di taman sekitar ibu kota turut menerima bahangnya.
Pegawai Veterinar Taman Burung Kuala Lumpur Dr Kartini Ahmad berkata burung mudah terdedah terhadap tegasan haba, menyebabkan pemantauan rapi termasuk melakukan sedikit perubahan terhadap rutin penjagaan perlu bagi memastikan kesemua unggas dan kupu-kupu di taman itu tidak terjejas.
Bagi mengelak burung dalam taman itu mengalami tegasan haba, penyesuaian dibuat terhadap air minuman selain bekas mandian tambahan disediakan untuk keselesaan kira-kira 3,000 burung daripada 200 spesies yang terdapat di taman itu.
"Burung akan diberi campuran vitamin dan elektrolit dalam air minuman mereka setiap 2 hari sekali untuk rawatan mengurangkan kadar tegasan haba pada burung berkenaan.
"Selain itu, bekas tambahan untuk mandian burung turut disediakan di dalam sangkar agar burung-burung dapat mandi dan menyejukkan badannya sekiranya terasa panas," katanya.
Dr Kartini berkata, bagi kawasan burung yang terbang bebas pula, pokok dibiarkan tumbuh merimbun dan tiada pemotongan dahan pokok dilakukan untuk memberikan lebih banyak tempat teduh, di samping dapat mengurangkan kenaikan suhu di kawasan aviari terbang bebas serta dalam sangkar.
Pemantauan berkala juga dilakukan bagi memastikan burung dalam taman tersebut selesa dan sihat setiap hari, kata Dr Kartini.
Mengenai kes kematian burung ketika cuaca panas, Dr Kartini berkata setakat ini tiada sebarang kematian burung atas faktor panas atau kesan tegasan haba akibat perubahan cuaca panas dilaporkan di taman burung itu.
[ads-post]
Seorang petugas dari Taman Rama-rama Kuala Lumpur pula berkata petugas taman akan menyiram pokok sekerap mungkin bagi memastikan pokok di dalam taman tidak terlalu kering.
"Selalunya ketika cuaca panas, kita akan siram 3 kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan petang," katanya yang turut memaklumkan terdapat kira-kira 5,000 ekor kupu-kupu daripada lebih 60 spesies di seluruh negara di taman berkenaan.
Katanya, kadar kematian kupu-kupu biasanya bukanlah disebabkan faktor cuaca panas kerana kupu-kupu mampu hidup lebih lama dalam cuaca itu berbanding ketika cuaca hujan.
Pada 9 Januari lepas, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata intensiti hujan negara dijangka berkurangan antara 20 hingga 60% bermula bulan ini, ekoran fenomena El Nino sedang melanda Malaysia pada masa ini.
Katanya, tahap El Nino kini dikategorikan sebagai kuat dan dijangka suhu negara meningkat antara 0.5 dan 2 darjah Celsius.
Beliau berkata impak El Nino yang kuat itu akan berterusan sehingga April dengan negeri di utara Semenanjung sudah mula menerima kesan fenomena berkenaan. – Bernama