Lapor jika tahanan SOSMA diseksa kepada KDN, kata Nur Jazlan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:28 PTG

Susulan pendedahan Suaram yang mendakwa wujud penyiksaan tahanan yang ditahan mengikut Sosma, KDN bersedia menyiasat sekiranya laporan dibuat melalui saluran rasmi, kata Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat sebarang kes seksaan terhadap tahanan sekiranya laporan dibuat menggunakan saluran rasmi, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed susulan pendedahan kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mendakwa berlaku salah laku layanan kepada tahanan.

“Saya perlu periksa, tetapi orang yang ditahan mempunyai hak untuk memaklumkan kepada seseorang mengenai penahanannya dan boleh melakukan laporan rasmi sekiranya sesi soal siasat tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“SOP yang digunakan para penyiasat perlu munasabah dan mengambil kira hak tertuduh sebagai manusia. Kementerian akan menyiasat apa sahaja laporan yang dilakukan menerusi saluran rasmi,” katanya melalui mesej WhatsApp kepada The Malaysian Insider.

Nur Jazlan memberikan maklum balas kepada pendedahan Suaram baru-baru ini mengenai surat pengakuan yang diberikan 7 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Akta 2012 (Sosma), mendakwa berlaku penderaan semasa mereka ditahan.
[ads-post]

Surat pengakuan itu didedahkan Suaram pada satu sidang media minggu lepas.

Menurut Suaram, ramai tahanan berkata mereka dipukul dan diancam, dengan seorang daripada mereka mendakwa dipaksa berbogel, merangkak seperti anjing, mencium kaki salah seorang pegawai penyiasat dan lain-lain tindakan yang merendahkan martabat tahanan.

Beberapa tahanan juga mendakwa polis mengancam untuk menyakiti ahli keluarga mereka menyebabkan terpaksa bersetuju dengan kenyataan disediakan polis.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, kumpulan itu sudah memfailkan laporan ke-2 kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jumaat lepas dan akan mengadakan pertemuan dengan peguam dan keluarga tahanan untuk membincangkan tindakan seterusnya.

Laporan pertama dilakukan bulan lepas.

“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan ahli keluarga tahanan dan kami juga merancang untuk membuat laporan rasmi kepada EAIC (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) dan Bukit Aman,” katanya, menambah yang dia dimaklumkan Suhakam sudah melawat beberapa orang tahanan.

“Mereka (Suhakam) sudah mengumpul beberapa maklumat dan nama tetapi belum didedahkan, kerana menunggu hasil akhir siasatan.”

Beberapa orang ahli keluarga tahanan juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut, kata Suaram. - TMI