NILAI - Dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipecahkan oleh empat penjenayah dalam kejadian rompakan di Pasaraya Giant dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 4.25 pagi, ke semua penjenayah yang bersenjatakan parang itu, berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM284,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian tersebut, seorang daripada tiga pengawal telah diikat, sebelum mencampakkannya ke dalam hutan belukar di belakang pasar raya tersebut.
Katanya, penjenayah kemudiannya memecah dua mesin ATM yang setiap satunya mengandungi wang tunai RM214,000 dan RM70,000.
"Ketika kejadian terdapat tiga pengawal keselamatan bertugas, tetapi dua daripadanya berada di luar premis berkenaan.
"Suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang, sebelum bertindak mengikat seorang pengawal keselamatan, dan kemudiannya memecahkan dua mesin ATM, sebelum melarikan diri," katanya.
Katanya, dalam tempoh hampir sejam itu, kesemua mereka berjaya membawa lari RM 284,000.
Zaldino berkata, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti suspek terlibat, dan kesemua pengawal keselamatan turut dipanggil untuk bantu siasatan.