Cinta Shaheizy Sam-Syatilla Melvin berputik melalui Facebook

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:59 PG

Syatilla Melvin mula mengenali Shaheizy Sam melalui Facebook enam tahun lalu. — Foto ehsan Instagram/Syatilla Melvin

Pelakon popular, Shaheizy Sam Samad, 34, akan mendirikan rumah tangga dengan aktres dan model Syatilla Melvin, 25, pada 8 Februari di Pulau Pinang, selepas pengumuman mereka dalam satu sidang media semalam.

Hari ini, Shaheizy mendedankan bahawa cinta mereka bermula enam tahun lalu melalui laman media sosial Facebook, apabila kedua-duanya mula saling berhubungan sebagai rakan.

“Kami bermula sebagai kawan biasa. Kemudian apabila hubungan mula serius ada pula pasang surutnya … Walau apa pun berlaku dalam hubungan kami, Tilla sentiasa ada untuk saya.

“Dari situ saya sedar dia calon terbaik yang saya cari selama ini apatah lagi susah nak jumpa wanita sepertinya,” kata Shaheizy yang mula mengenali Syatilla semasa Pencarian Dewi Remaja 2010, lapor Harian Metro.



Pelakon “Polis Evo” itu juga mengakui tindakannya merahsiakan hubungan dengan aktres dan model terutama kepada media kerana mempunyai masalah keyakinan diri sejak kecil.

“Bagi saya sisi peribadi saya tidak menarik. Itu sebab mengapa saya sorok dan enggan bercerita malah tidak ada niat langsung untuk menipu,” katanya yang memiliki sejuta pengikut di Instagram.

“Selepas kami ambil keputusan untuk berkahwin lima bulan lalu, baru saya selesa untuk berkongsi perkara ini kepada umum”.

Adik kepada pelakon Zizie Izette itu berkata, kesabaran dan ketelusan Syatilla membuka pintu hatinya untuk berumah tangga.

“Dia tidak hipokrit sebaliknya jujur dalam apa jua situasi. Dia jadi diri sendiri, pendek kata hati Tilla kelas A,” katanya.

Majlis perkahwinan mereka telah mendapat 15 tajaan berjumlah RM25 juta, sehingga digelar sebagai “Wedding of the Year”, atau perkahwinan terhebat tahun ini menurut TMMO.