KUALA LUMPUR - Seorang kelindan lori dipenjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah memperdayakan teman wanitanya untuk menyerahkan wang sebanyak RM7,800 kononnya untuk persiapan perkahwinan mereka.
Majistret Nurliana Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Afendy Zulfikrie Tazan, 28, yang mengaku bersalah memperdayakan wanita berumur 24 tahun itu sehingga menyerahkan wang berkenaan bagi menguruskan pembayaran pakej perkahwinan mereka.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 8 Mei lepas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran 3, Bandar Baru Selayang di sini antara Oktober tahun lepas dan pertengahan Februari tahun ini.
Mohd Khairul Afendy Zulfikrie didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung ibu dan adik yang masih belajar.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa mengalami kerugian dan trauma akibat kejadian itu. - Bernama