Pengarah pendidikan politik wanita DAP Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mempersoalkan kaitan yang dibuat perdana menteri dengan liberalisme dan pedofilia, apabila gejala tersebut merupakan satu penyakit. – Gambar TMI
DAP hari ini mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menuduh fahaman liberalisme sebagai punca masalah pedofilia di Britain, susulan kes seorang pelajar Malaysia yang dihukum penjara kerana memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak baru-baru ini.
"Terdapat garis halus antara keberanian dan kebodohan; dan semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan bahayanya melintasi garisan tersebut," kata pengarah pendidikan politik wanita DAP Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
"Beliau tidak segan memandang ringan terhadap kerumitan kes pedofilia dengan menyalahkan liberalisme dalam masalah ini dan memetik kes Nur Fitri Nordin Azmeer sebagai contoh untuk memperkuatkan kenyataannya.
"Pedofilia adalah sejenis gangguan mental dan bukannya orientasi seksual (sexual orientation) atau satu pilihan gaya hidup," katanya.
Najib, semasa melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia di Putrajaya semalam, berkata liberalisme mengancam identiti Islam dan menuduh liberalisme membuatkan prinsip-prinsip agama diambil ringan.
"Pelajar yang terlibat dalam sesuatu yang menjijikkan di UK baru-baru ini dan menggemparkan menunjukkan anasir begini wujud di kalangan orang Islam dan ia timbul dari fahaman ekstremisme dan liberalisme," katanya.
Syerleena sebaliknya berkata ancaman sebenar terhadap Islam adalah fahaman tidak logik dan tidak berasas.
Katanya, ramai, termasuk Najib sendiri, seolah-olah sudah lupa mereka juga merupakan produk sistem pendidikan sama yang kini mereka kutuk.
"Setelah menghadiri kedua-dua Kolej Malvern dan Universiti Nottingham, beliau menghabiskan masa yang panjang dalam hidupnya membesar dalam persekitaran yang dikelilingi liberalisme 'di bawah nama humanisme, sekularisme, liberalisme dan hak asasi manusia'. Adakah beliau mengutuk dirinya juga?" soal Syerleena.
Nur Fitri, 23, seorang pelajar tajaan Mara, dijatuhi hukuman 18 bulan penjara di UK kerana memiliki lebih 30,000 imej pornografi kanak-kanak. - The Malaysian Insider