Kanak kanak nyaris diculik di depan sekolah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:02 PG
Kes culik terbaru - Grafik Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terselamat daripada cubaan diculik, dalam satu kejadian di sebuah sekolah, di Johor Jaya, pada Isnin lalu.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit didatangi suspek lelaki di hentian bas, kira-kira 15 minit selepas tamat sesi persekolahan.

Suspek yang berbaju biru gelap memanggil kanak-kanak berkenaan, dengan mengatakan ibunya meminta dia membawanya pulang.

Kanak-kanak berkenaan yang sedang menunggu ibunya, bagaimanapun enggan menurut permintaan lelaki berkenaan.

Suspek kemudiannya bertindak menarik beg sandang kanak-kanak berkenaan dan memaksa dia mengikutnya.
Rakan kanak-kanak berkenaan yang menyedari insiden itu kemudiannya menjerit, menyebabkan pengawal keselamatan berlari menuju ke hentian bas berkenaan.

Suspek yang merupakan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan bertubuh agak kurus itu, kemudiannya melarikan diri.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Chee Meng Heong, 41, berkata dia lega anaknya terselamat daripada diculik.

“Saya terkejut dengan kejadian yang menimpa anak saya, kerana kediaman kami hanya lima minit dari sekolah itu.

“Sebenarnya, saya enggan membesar-besarkan perkara ini, namun atas nasihat rakan, saya buat laporan polis di Balai Polis Johor Jaya pada hari sama,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DAP Johor Jaya, hari ini.

Chee berkata, polis turut menasihatkannya memaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu, bagi meningkatkan pengawasan di sekitar kawasan sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Abdul Samad Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis telah meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan dan akan terus menjalankan pemantauan keselamatan pelajar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Samad berkata, polis akan menyiasat motif dan punca di sebalik kejadian itu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polsi terdekat atau Balai Polsi Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya. - The Rakyat Post