Awie Wings - Gambar ihsan mStar
PENYANYI, pelakon Awie meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang menyebarkan kembali fitnah yang mengatakan dirinya telah meninggal dunia.
“Saya pun tak faham kenapa berita ini jadi viral semula. Saya dihubungi rakan-rakan dan media bertanyakan keadaan saya. Ada yang menelefon saya sambil menangis.
“Berita ini sedikit sebanyak mengganggu jadual harian saya. Saya kena jawab soalan yang sama berulang kali daripada pelbagai pihak. Saya faham. Saya kena jawab sebab ini melibatkan emosi keluarga, kawan-kawan dan saya ada anak.
“Kadang-kadang emosi ini kita tak boleh kawal. Ia boleh menjejaskan saya sebab tu saya tak nak balas apa-apa di Facebook sebaliknya akan guna saluran undang-undang. Kali ini saya tak kan berdiam diri. Saya akan bertindak. Tunggu dan lihat!” tegas Awie ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Sinar Harian menghubungi Awie berikutan laporan yang tersebar dalam laman sosial Facebook dan viral di aplikasi WhatsApp yang mendakwa dirinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lahad Datu, Sabah.
Selepas dihubungi media, berita tersebut adalah tentang seorang lelaki yang mempunyai wajah mirip Awie.
Baru-baru ini, iaitu sehari selepas Awie menerima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau sekali lagi diberitakan meninggal dunia dengan menggunakan gambar penerimaan selempang tersebut sebagai hebahan menyebabkan timbul spekulasi dan pertanyaan orang ramai mengenai kesahihan berita tersebut. - Sinar Harian