Pemandu Teksi Singapura Gaji Cecah RM15,000 Sebulan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:51 PG
SINGAPURA – Biarpun ramai peniaga mengeluh mereka kerugian besar ekoran pelanggan Malaysia enggan membeli barangan akibat matawang dollar Singapura terlalu ‘kuat’ di pasaran global, lain pula cerita pemandu teksi di republik itu.

Di sebalik kelesuan ekonomi dengan KDNK 3 peratus tahun lalu iaitu terendah dalam sejarah atau separuh daripada KDNK 6 peratus dicatatkan jirannya, Malaysia; pemandu teksi Singapura sebaliknya masih lagi boleh ‘tersenyum’ lebar.

Kajian terbaharu pihak pemerintah republik itu mendapati, pendapatan bulanan bersih secara purata setiap pemandu teksi di Singapura sepanjang tahun lalu direkodkan sekitar S$3,170 (RM8,460) bagi operasi standard selama satu syif.

Malah, pendapatan bersih mereka sebenarnya boleh mencecah sehingga S$5,900 (RM15,745) sebulan jika pemandu teksi berkenaan sanggup bekerja lebih masa iaitu dua syif terutama pada musim perayaan atau cuti umum.

Perkara yang amat mengejutkan itu didedahkan oleh Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan Chuan Jin dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis, terhadap soalan daripada wakil rakyat GRC Tampines, Irene Ng.

Ahli parlimen wanita tersebut bertanya mengenai purata pendapatan tahunan setiap pemandu teksi di Singapura selain jumlah sebenar pemandu terbabit dan tahap kelayakan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan itu.

Chuan Jin berkata, sehingga akhir Disember tahun lalu, seramai 98,477 rakyat Singapura memiliki lesen vokasional teksi, namun kira-kira 56,000 daripada jumlah itu berdaftar sebagai pemandu bergaji dengan syarikat teksi tempatan. - Mynewshub