Walaupun terbuka mengakui sudah berpunya, namun Erra masih enggan mendedahkan identiti lelaki yang sedang bertakhta di hatinya.
Memetik Harian Metro, Erra mengatakan, “Ya, saya mengaku sedang berkawan dengan seseorang. Siapakah dia, biarlah rahsia. Saya membuat pengakuan ini kerana mahu hentikan cakap-cakap orang yang suka mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki. Buat masa ini biarlah saya rahsiakan identitinya dulu”.
“Ini kerana kami masih lagi dalam proses mengenali antara satu sama lain. Selanjutnya biarlah keadaan dan masa yang akan menentukan,” katanya.
Erra sebelum ini pernah berkahwin dengan Yusry Abdul Halim dan Engku Emran Engku Zainal Abidin namun kedua-dua perkahwinannya tidak bertahan lama.
Hasil perkahwinan dengan Engku Emran, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia enam tahun. -Mynewshub