Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37, ditahan bersama seorang wanita dan lelaki di sebuah hotel di ibu negara kira-kira jam 9.30 malam, Khamis.
Menurut laporan Astro Gempak, hasil pemeriksaan polis dari cawangan Narkotik IPK Kuala Lumpur menjumpai dua paket plastik lutsinar dan satu keratan paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis Syabu.
Selain itu, hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg tangan yang terdapat di situ menemui sebanyak 11 lagi paket lutsinar dadah.
Pihak polis turut menjumpai sepucuk pistol angin yang mengandungi 14 butir peluru bebola besi dalam bilik tersebut.
Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Seksyen 38 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Sekysen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata.
Benjy, anak sulung kepada Allahyarhamah seniwati Azean Irdawaty sebelum ini pernah ditahan pada 2009 dan 2011 atas kesalahan sama.