Dalam kejadian jam 1.35 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Kampung Atas Banggol, Jalan PCB, di sini, mengalami kecederaan di tangan kanan.
Sumber polis Thailand berkata, mangsa dipercayai ditembak akibat perbalahan peribadi dan dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sudah dihantar untuk mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital di Malaysia.
“Hasil maklumat awal dipercayai mangsa ke pusat hiburan itu bersama beberapa rakan lain.
“Bagaimanapun, berlaku pergaduhan sebelum mangsa ditembak sehingga tercedera di tangan kanan,” katanya.
Ketua Polis Sungai Golok Kolonel Kongart Suwankham dalam satu kenyataan mengesahkan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, polis Thailand akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Sementara itu, sumber Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla menasihatkan rakyat Malaysia mengelakkan diri daripada mengunjungi pusat hiburan di negara jiran.
“Mereka perlu merujuk kepada nasihat perjalanan dikeluarkan Wisma Putra dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian buruk,” katanya.