Sepanjang menjayakan program realiti lawak popular Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) sebagai juri tetap yang berakhir 6 Februari lalu, ramai yang mula tertarik dengan penghibur terkenal Singapura, Taufik Batisah, 33. Selain memiliki wajah tampan, single terbarunya, Awak Kat Mana yang kini sering berkumandang di kebanyakan stesen radio, berjaya memenangi hati sebahagian besar peminat muzik tempatan. Dilihat dari latar kerjaya seninya, Taufik bukanlah nama baru. Selain muncul sebagai penyanyi Melayu paling popular di Singapura, album dihasilkan pernah juga dipasarkan di sini sekitar 2009 dibawah syarikat rakaman Suria Records.
Kolaborasinya dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa menerusi lagu Aku Bersahaja juga banyak membantu mengukuhkan namanya sebagai penyanyi disegani di Nusantara. Dalam pelbagai kejayaan diraih sejak menjuarai rancangan realiti popular Singapura Idol pada 2004, nyata MLM2014 dilihat lebih berjaya membawa Taufik untuk bertapak kukuh di sini, hingga lagu Awak Kat Mana diterima ramai.
Program itu juga menjadikan namanya jadi sebutan apabila dikaitkan dengan gosip bercinta dengan seorang lagi juri MLM2014, Fazura. Taufik yang ditemui pada malam kemuncak MLM2014 dan turut menyampaikan lagu Awak Kat Mana, mengakui perkara itu. Katanya, waktu sama ada yang memperlekehkan karya popularnya yang kini makin diminati dan menjadi ikutan dan siulan ramai. “Mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang memang berasa hairan apabila saya muncul dengan lagu seperti Awak Kat Mana. “Ia ternyata berbeza sekali dengan apa yang pernah saya cipta dalam album sebelum ini. Kebanyakan karya saya baladanya lebih tebal, lirik bermain dengan perasaan dan susunan muziknya besar.
Lagu baru saya ini satu karya ringan. “Saya kalau hasilkan lagu mengambil masa berhari-hari tetapi untuk lagu ini hanya beberapa jam. Saya buat untuk suka-suka tetapi tidak sangka apabila didengarkan kepada peminat, mereka menggemarinya terutama peminat muda,” katanya.