Sumber Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu, fenomena yang berlaku cuma dua kali dalam setahun itu juga bermaksud matahari berada tegak di atas Malaysia dengan suhu paling panas mungkin pada Mac ini terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung.
Berdasarkan ramalan oleh portal cuaca, AccuWeather, bacaan suhu di beberapa bandar utama di Malaysia mulai 25 Februari ini mencecah 36 darjah Celcius.
“Setiap tahun pada bulan Mac dan September, matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.
“Suhu akan lebih tinggi dan kering waktu itu. Ia boleh mencecah sehingga 38 darjah Celcius untuk negeri-negeri tertentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Suhu 38 darjah Celcius adalah bersamaan dengan suhu purata pada awal musim di Mekah, Arab Saudi.
Sumber itu turut menjelaskan, cuaca normal di Malaysia kurang daripada 34 darjah Celcius dan lebih daripada itu dianggap sebagai cuaca panas.
Sementara itu, Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, cuaca panas di Malaysia waktu ini turut disebabkan oleh Monsun Timur Laut yang hampir berakhir. - Kosmo