Serdang: Polis menggiatkan usaha memburu dua peragut ganas bermotosikal yang membelasah seorang wanita hingga cedera parah awal pagi Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, suspek langsung tidak mengeluarkan kata-kata amaran sebelum memukul mangsa di Jalan Bandar Kinrara 2 di sini.
Serangan mendadak itu menyebabkan mangsa wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an itu mengalami luka teruk ke kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke tempat kerja di kawasan berhampiran.
Menurutnya, dua suspek lelaki yang menunggang sebuah motosikal tiba-tiba muncul sebelum terus memukul belakang badan mangsa menggunakan batang besi dibawa.
“Pukulan itu turut mengenai kepala mangsa. Suspek kemudian merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.
“Pukulan kuat itu menyebabkan belakang badan mangsa bengkak, kepalanya berdarah dan terpaksa menerima enam jahitan,” katanya.
Beliau berkata, bahagian muka mangsa juga lebam dan dia mengadu sakit kaki akibat terjatuh atas jalan sejurus diserang.
“Mangsa kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan pasport antarabangsa miliknya.
“Polis masih mengesan suspek terbabit dan rondaan cegah jenayah akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” katanya.