Putrajaya: "Saya dan semua keluarga mangsa sentiasa ternanti-nanti perkembangan terkini tetapi pihak yang bertanggungjawab langsung tidak memaklumkan apa-apa," kata Jacquita Gonzales" kata Jacquita Gonzales, isteri kepada Penyelia Penerbangan MH370, Patrick Francis Gomes. [Gambar bawah]
Jacquita bersama empat waris MH370 yang lain termasuk isteri pramugara Mohd Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othman, 35, ditemui selepas muncul pada bilik sidang media berkaitan MH370 oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), di sini, semalam.Jacquita Gonzales
Menurutnya, dia terkejut apabila DCA mengumumkan deklarasi berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
"Jika anda buat carian mengenai maksud perkataan lenyap (lost) dan hilang (missing), ada dua maksud berbeza mengenainya. Jika MH370 diisytihar hilang, saya pasti suami mahu pulang ke rumah.
"Semua waris MH370 yang lain juga mahu insan tersayang mereka pulang ke pangkuan masing-masing," katanya.
Lebih menyedihkan kata Jacquita, pertemuan petang ini di pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) juga tidak diberitahu kepada keluarga mangsa.
"Kami datang sebab dapat maklumat daripada wartawan dan bukannya atas jemputan DCA.
"Kenapa boleh jadi begini sedangkan kamilah yang sepatutnya tahu apa juga perkembangan mengenai MH370.
"Sikap yang ditunjukkan oleh DCA seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan kami," katanya sambil menahan sebak.
Tambahnya, DCA ada memberitahu pencarian akan dibuat sehingga bulan Mei 2015 dan misi seterusnya akan dimaklumkan selepas itu.
"Tolonglah kembalikan orang-orang yang kami sayang dalam keadaan apa sekali pun.
"Kalau mereka kata pesawat telah hilang, mereka juga harus tahu bahawa kami ahli keluarga mangsa turut hilang punca kepada semua persoalan yang tidak terjawab," ujarnya.
Jacquita memberitahu, sidang media yang dijadualkan pada hari ini merupakan pentas terbaik untuk beliau dan ahli keluarga mangsa MH370 bertanyakan perkembangan terkini pencarian pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
Namun sidang media itu dibatalkan pada saat-saat akhir tanpa sebarang maklumat lajut dan ia sekali gus mengecewakan ramai ahli keluarga terbabit. myMetro / Gambar Malaysia Gazette