Filem Melayu Seram Terbaru Puaka Balai Gombak
Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:04 PTG
Pengarah filem Puaka Balai Gombak iaitu Waan Hafiz terpaksa meninjau lebih 10 buah lokasi seram popular di Malaysia sebelum memulakan pengambaran filem tersebut.
Waan berkata, cabaran utama apabila kebanyakan tempat seram tersebut kurang menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran.
"Kami membuat kajian dan tinjauan di lebih 10 lokasi yang dikatakan paling seram di Malaysia, namun kebanyakkannya terlalu gelap untuk penggambaran dan tidak menarik.
"Kawasan-kawasan itu sudah lama ditinggalkan dan waktu malam cahaya bulan pun tak nampak kerana sudah dilindungi rimbunan pokok liar," ujarnya kepada mStar Online, Selasa.
Waan ditemui selepas tayangan media filem Puaka Balai Gombak, di TGV One Utama, di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Waan berkata terdapat juga beberapa lokasi seram yang sering diperkatakan namun tidak mendapat kebenaran daripada waris dan penduduk setempat.
"Ada lokasi tempat persendirian yang memang tidak dibenarkan dan ada juga yang tidak mendapat kebenaran daripada penduduk di situ.
"Mereka enggan beri kerjasama dan tidak membenarkan kami melakukan penggambaran. Mereka tidak mahu tempat itu menjadi perhatian orang ramai," katanya.
Jelasnya, tiga lokasi yang dipilih dalam filem ini iaitu Apartment Riviera II, sebuah banglo di Shah Alam dan Balai Polis Gombak merupakan lokasi seram paling sesuai untuk penggambaran tersebut.
Dalam pada itu, jelasnya pemilihan tiga orang pelakon baharu iaitu Hazwan Asari, Farhaziq Ab Manaf dan Shukri Tahir adalah bagi menghidupkan jalan cerita agar tidak kelihatan ia sebagai sebuah lakonan.
"Kita memang sengaja memilih pelakon-pelakon baru supaya ia lebih kelihatan seperti paranormal sebenar.
"Bayangkan kalau letak pelakon seperti Fizz Fairuz sudah tentu orang tidak akan percaya tentang perkara itu," katanya.
Sementara itu, Waan berkata, cabaran lain ialah untuk menghidupkan rasa seram dihadapan skrin seperti mana yang mereka rasai ketika di set penggambaran.
Jelasnya, sepanjang penggambaran berlangsung dia, pelakon dan kru produksi merasakan kehadiran entiti tersebut, namun ia tidak dapat dirakam oleh kamera.
"Susah apabila kita rasa kehadiran entiti itu dan tahu mereka sedang memandang apa yang kita lakukan tetapi tidak dapat dirakam kamera.
"Secara jujur saya bukan seorang yang percaya pada makhluk halus tetapi selepas penggambaran itu, ia memberi satu pengajaran kepada saya tentang wujudnya makhluk itu," katanya.
Filem Puaka Balai Gombak terbitan Showbiz ini akan berada di pawagam bermula 29 Januari 2015. Sumber mStar