Dr Mahathir Bukan Cabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sebagai Presiden Umno

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:54 PTG
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno - Foto kredit Bloomberg Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berniat mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno atau kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi negara. Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, Dr Mahathir hanya membangkitkan isu pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara. "(Beliau) sekadar memberi tunjuk ajar dan kemudiannya mengkritik apabila Najib seolah-olah memekakkan telinga, membutakan mata dan membisukan mulut. "Langkah terakhir beliau adalah menarik balik sokongan terhadap Najib. Lagipun, Dr Mahathir tidak ada apa-apa jawatan dalam Umno untuk mencabar kedudukan Najib," katanya dalam blognya, The Scribe A Kadir Jasin. Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sedia menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pemimpin itu yang dilihat berbeza pendapat dari segi pengurusan negara. Tokoh Wartawan Negara 2011 itu juga berpendapat tidak berlaku ketegangan politik dalaman antara Dr Mahathir dan Najib. Beliau turut mendakwa kumpulan penyokong Najib bersekongkol dengan pembangkang untuk mengkritik Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin serta pihak lain yang tidak bersetuju atau menegur mereka. "Kalau Shahidan berani dan berpengaruh, mereka inilah yang perlu beliau jinakkan supaya tidak menjadi batu api yang membakar perhubungan Najib dengan pelindung politik beliau seperti Dr Mahathir dan Daim," katanya. Beliau menegaskan, Dr Mahathir dan Daim menegur dan mengkritik Najib bukan kerana mereka membenci pemimpin tertinggi negara itu dan bukan kerana mereka mengidamkan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. "Teguran dan kritikan mereka bertujuan memperkukuhkan Umno dan kerajaan agar tidak kalah dalam pilihan raya umum akan datang. "Namun saya mengalu-alukan cadangan pertemuan Shahidan dengan Dr Mahathir kerana siapakah Shahidan kalau bukan kerana dididik dan diberi peluang oleh Dr Mahathir? Eloklah Shahidan menunjukkan teladan yang baik sambil membuktikan iaitu masih ada pemimpin Umno yang hormat orang tua dan mengenang budi," katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai beberapa pemimpin Umno, termasuk Shahidan yang meminta Dr Mahathir dan Najib duduk semeja dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat yang timbul. Krisis terbaharu itu timbul selepas Dr Mahathir dan beberapa veteran Umno dilihat berterusan mengkritik pentadbiran Najib. Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Disember lalu, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun (1981-2013) berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah Najib menukar banyak dasar ekonomi yang dilihat tidak memberi manfaat kepada negara serta mempersoalkan keputusan Najib berhubung pelaburan 1Malaysia Development Bhd dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia. Pandangan Dr Mahathir itu disokong veteran Umno, seperti Daim dan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid. Sinar Harian Politik