Terkini: Dua Kanak-Kanak Maut Ketika Hendak Ke Surau

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:50 PG



SESUNGGUHNYA syurga menanti kanak-kanak ini.

Siapa menyangka niat suci dua kanak-kanak bersaudara ingin sembahyang berjemaah berakhir dengan kematian apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh mereka ketika sedang melintas ke surau di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, malam tadi.

Lebih menyedihkan, kanak-kanak ini dipercayai tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Dua sepupu terbabit, Abdul Ghaffar Ibrahim, 9, dan Azraie Mohamad Shariff, 8, dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumah nenek mereka di Kampung Pengapit Batu, di sini ke surau berhampiran bagi menunaikan solat Isyak.

Insiden malang yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ini sekaligus menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan meninggal akibat kecederaan di kepala dan mayat kanak-kanak ini sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan turut mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut Adzaman, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: mynewshub