Umno dengan Bersatu kahwin 'norma baru' cerai tapi serumah?

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:40 PG
Pas Umno Bersatu semakin celaru penyokong berbeza pandangan mengenai PM Muhyiddin - Foto MyKMU

Oleh Shahbudin Husin

UMNO secara rasmi telah membuat keputusan tidak akan bersama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 akan datang serta secara rasmi dan bertulis juga memaklumkan perkara tersebut kepada Muhyiddin Yassin.

Ia dimaklumkan melalui surat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu, Pengerusi PH dan Perdana Menteri pada 26 Februari lalu.

Begitu pun, UMNO berpendapat, kebersamaan mereka dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Dengan pendirian ini bermakna, UMNO ingin terus berada dalam rumah kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan dan selepas itu akan bertanding sebagai pembangkang melawan Bersatu dan PN dalam PRU15.

Sesungguhnya inilah pertama kali dalam sejarah negara, barangkali juga dalam dunia, ada parti yang melafazkan talak untuk berpisah tetapi menangguhkan keluar rumah buat sementara sehingga Parlimen dibubarkan.

Sehingga Parlimen tidak dibubarkan, UMNO akan terus duduk serumah, makan bersama dan tidur sekatil dengan Bersatu yang telah dicerai tetapi ditangguhkan perlaksanaan cerainya itu.

Kalau UMNO dan Bersatu ibarat suami isteri, tentulah caca marba kehidupan yang bakal dilalui.

Mereka duduk serumah, tetapi telah memaklumkan akan bercerai pada suatu masa yang belum diketahui, namun sementara itu terus tinggal serumah, makan dan tidur bersama lagi. Tidak mustahil hubungan kelamin juga berjalan seperti biasa.

Anak-anak, saudara-mara serta jiran tetangga pasti turut pening kepala sama dibuatnya.

Selepas Parlimen dibubar nanti, sama ada UMNO terus bersendirian atau akan bertemu jodoh dengan pasangan lain tidak juga dapat dipastikan lagi.

Dalam norma kehidupan biasa, sesuai dengan tindakan UMNO yang telah memaklumkan mahu berpisah itu dan Bersatu sebagai orang yang mempunyai kuasa, namun diberitahu akan ditinggalkan, ia biasanya tentulah boleh berbuat sesuatu yang munasabah demi maruah serta harga dirinya.

Tetapi, nampaknya tidak begitu yang terjadi.

Dalam mesyuarat MPT Bersatu semalam yang diadakan sebagai susulan ketetapan UMNO mahu berpisah itu, keputusan yang diambil ialah sekadar memandang serius tindakan UMNO itu.

Dalam waktu yang sama, Bersatu memaklumkan akan terus mempererat hubungan dengan parti gabungan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

Tidak disebut sama sekali tindakan mahu mengakhiri hubungan atau sebarang tindakan akan diambil terhadap UMNO.

Penulis Shahbudin Husin 

Kesimpulannya, sama seperti UMNO yang mahu berpisah dengan Bersatu, tetapi enggan keluar rumah PN sehingga Parlimen dibubarkan, Bersatu juga tidak berani memutuskan hubungan atau menyuruh UMNO keluar daripada PN.

Setidak-tidaknya, bagi Bersatu yang telah dimaklumkan akan dicerai itu serta dengan kuasa yang dimilikinya, ia akan berkata kepada UMNO, kalau benar mahu berpisah, kenapa tidak keluar rumah saja daripada sekarang?

Mengapa perlu duduk lagi di rumah PN ini kalau benar mahu berpisah?

Atau, boleh saja Bersatu bertindak menghalau UMNO daripada terus duduk di rumah PN kerana keberadaannya boleh saja mendatangkan bahaya seperti mungkin membawa lari beras atau apa-apa perabot apabila sampai ketika ia mahu keluar rumah nanti.

Entahlah, boleh pening kita dibuatnya dengan hubungan UMNO dengan Bersatu ini yang boleh dikategorikan macam lawak antarabangsa saja layaknya hubungan “sumbang mahram” mereka.

Agaknya inilah “perkahwinan” norma baru yang tidak pernah tergambar sebelum ini, sama seperti tidak tergambarnya kita bagaimana seorang yang tiada lagi majoriti, tapi terus tak malu mengaku ada sokongan besar sebagai Perdana Menteri.