"UMNO beri tempoh Ogos bubar Parlimen atau tarik sokongan bila-bila masa" - Zahid dan Mat Hassan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:14 PG
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hassan - Foto Utusan Online

KUALA LUMPUR: UMNO akan menentukan tempoh masa yang sesuai untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yakin jika keputusan untuk menarik sokongan itu dibuat, semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia melepaskan jawatan masing-masing.

"Bila? Kalau dapat difahami tadi bahawa perwakilan sudah memberikan mandat kepada presiden, iaitu maknanya kita boleh menarik diri daripada kerajaan PN pada bila-bila masa jika mereka tidak ada indikasi untuk adakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

"Ada kemungkinan mereka akan memanjangkan waktu pilihan raya sehingga akhir penggal, kalau ini jadi keputusannya saya yakin MKT (Majlis Kerja Tertinggi), menteri, pengerusi GLC dan seluruh Ahli Parlimen akan akur dengan keputsuan parti menarik diri daripada PN," katanya menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), hari ini.

Sementara itu BHOnline melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, UMNO memberi tempoh hingga Ogos ini untuk kerajaan PN membubarkan Parlimen dan jika tidak, seluruh Ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan kepada PN.


Pada masa sama, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilapor Malaysiakini mencabar seorang menteri daripada parti itu agar meletakkan jawatan dalam kabinet.

Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai 'makkhluk perosak', Zahid juga mendakwa menteri berkenaan 'menikam' Umno dari belakang.

"Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tak ada di pentas ni tapi menikam Umno dari belakang.

"Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, petang ini.

Meskipun Zahid tidak menamakan sesiapa, jelas ucapannya merujuk kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Umum mengetahui hubungan kedua-dua pemimpin itu "retak" selepas parti itu memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.

Susulan pemecatannya, Annuar mendedahkan bahawa Zahid mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Umno menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu tuduhan jahat.

Dalam pada itu, Annuar hari ini dalam temubual di Facebooknya menegaskan dia tahu kewujudan surat sokongan presiden Umno itu dan Zahid tidak perlu menafikannya.

Zahid secara sinis berkata menteri berkenaan "sedang geli secara maksimum" dengan jawatan yang disandangnya kini.

"Bila 'ghanimah' dan jawatan yang jadi kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita perwakilan dan akar umbi, kita tak kan rasa kedudukan sebagai menteri semula.

"Saya yakin rakan-rakan yang jadi menteri yang ada di atas pentas atau di bawah atau tak jadi perwakilan, saya amat yakin sesungguhnya mereka ahli parti, pendokong parti, orang yang setia pada parti," katanya dipetik Malaysiakini.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Umno hari ini memberikan mandat kepada Zahid dan majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bila tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional.